BLOGGER TEMPLATES - TWITTER BACKGROUNDS »

Sunday, July 31, 2011

Ramadhan Sebagai Orang Yang 'Baru'

Salam Ramadhan...

Pejam celik pejam celik, setahun sudah berlalu. Rasanya seperti baru sahaja saya meninggalkan Ramadhan yang lalu, moreh bersama-sama adik-adik usai solat terawih di kedai mamak. Berjalan-jalan di bazar Ramadhan Kluang. Berbuka puasa bersama ahli keluarga. Namun tanpa disedari, segala kenangan manis itu telah saya tinggalkan satu tahun yang lalu.

Ramadhan pada tahun ini disambut dengan sedikit kelainan. Jika dahulu Ramadhan disambut dengan gaya, misi dan visi seorang bujang, namun pada tahun ini Ramadhan disambut dengan status saya sebagai suami. Menyambut Ramadhan dengan misi dan visi bersama isteri tercinta, dan juga bakal anak yang sedang membesar di dalam kandungan isteri. Sungguh berbeza Ramadhan kali ini. Ramadhan yang insyaAllah akan memberikan satu lembaran baru, perspektif baru, pengalaman yang pastinya menarik dan menyeronokkan.

Gambar anak-anak tu ilusi optik je. Masih belum muncul lagi.

Saya berharap Ramadhan pada tahun ini saya dapat tempuhi dengan lebih baik daripada tahun-tahun lepas, dan pada masa yang sama juga mengemudi bahtera keluarga ini dan anak kapalnya, iaitu isteri dan bayi di dalam perut isteri, ke arah yang baik insyaAllah. Semoga Ramadhan ini menjadi titik mula untuk saya menjadi Muslim dan Mukmin yang lebih baik, suami yang lebih baik dan mempersiapkan diri untuk menjadi abi yang terbaik!!

Kepada rakan-rakan dan sahabat-sahabat, saya ingin mengucapkan Selamat Menyambut Ramadhan al-Mubarak. Optimumkanlah Ramadhan kali ini. Pesanan untuk diri saya juga.

Pertingkatkan amalan. Namun pastikanlah segala amalan yang kita lakukan merupakan sunnah Rasulullah SAW, jauhkanlah perkara-perkara yang tidak pasti kesahihannya seperti fadhilat solat terawih dan sebagainya. Semoga kita semua dirahmati Allah.

Pilihlah, kita nak jadi seperti yang mana??

Akhir kata, Selamat Berpuasa dan Menunaikan Ibadah. Daripada kami sekeluarga, Khairul a.k.a Roy, Intan Nadia dan baby. =)

Thursday, July 7, 2011

4 Bulan Seribu Kenangan

Salam...

Baru-baru aku baru sahaja berjaya menamatkan training selama 4 bulan di SHRDC di Shah Alam. Aku telah dihantar oleh Freescale Semiconductor untuk training di sana sebelum mula on-job training di kilangnya selama 8 bulan sebagai Test Engineer.















Sungguh cepat masa berlalu, masih teringat lagi hari pertama semasa training di sana. Introduction bermula pukul 10 pagi, dan aku sampai awal.(For the 1st time and maybe the last time...Huhu...) Tak salah aku masa tu cuma ada Fizi dan Man (tak beberapa ingat). Selepas introduction dan sedikit tour di sekitar SHRDC oleh En. Yuskimi, dalam pukul 11 kami dibenarkan pulang. Seronok betul kelas 1 jam je.

Keesokan harinya, bermula kelas penuh yang pertama bersama Miss Sinthana. Kelas senyap sunyi. Kalau instructor tanya pun tiada siapa yang jawab. Miss Sinthana kata kami senyap sebab kami semua baru lagi, nanti bila dah lama kenal mesti bising. Kesenyapan dan kesunyian ini berlarutan hingga 2 ke 3 minggu. Antara lelaki dan perempuan tidak bertegur sapa. Kami pula masa lunch atau tea break, duduk semeja tapi semua senyap, buat aktiviti masing-masing. Bila difikirkan balik memang kelakar dan pelik.

Namun selepas itu, seorang demi seorang mula menunjukkan belang mereka. Ada yang dah pandai mengenakan orang lain, buat lawak dalam kelas dan sebagainya. Dan kemuncak perubahan sikap dan keterbukaan kami ialah ketika kami di hantar ke Awana Genting untuk Team Building Training. Pada hari siangnya semua terlibat dengan outdoor activities yang disediakan, malamnya semua naik ke Genting untuk bermain bowling bersama-sama. Itulah kali pertama semua ahli kelas dapat keluar dan beraktiviti bersama. Keesokan harinya, sebelum pulang juga kami sempat berjalan-jalan di Genting Highlands.


Pulang dari Genting, kami dapat melihat perubahan ketara antara ahli kelas. Kami lebih open dan serasi. Ditambah pula bercambahnya gosip-gosip hangat di kelas menyebabkan kelas tidak pernah sunyi daripada sok sek sok sek dan gelak tawa. Yang paling best, semua orang sporting, layan je gosip-gosip dan karenah rakan sekelas.

30 Jun 2011, kelas terakhir kami di SHRDC. Hari terakhir kami diakhiri bersama salah seorang instructor "favourite" kelas kami yang berasal dari Jepun. Sebelum itu, kami telah merancang untuk mengadakan satu lagi outing kelas, iaitu mengadakan BBQ di Bagan Lalang. Setelah semua dirancang dengan baik, pada 2 Julai 2011 kami telah pergi beramai-ramai ke Bagan Lalang dengan semua kelengkapan.

Semua dapat hadir kecuali Fitriey, Raihan dan Ermie. Dan aku sudah tentu membawa isteriku sekali. Hehe. Di sana kami makan-makan, ada sedikit aktiviti yang disediakan oleh AJK aktiviti iaitu Fuad, San, Nas dan Hil. Makanan yang dibawa juga tersangatlah banyak. Selain BBQ, setiap orang ada membawa potluck dan jajan. Jadi meriah sungguh. Aktiviti-aktiviti juga sangat seronok dan menarik, dan ia bertambah menarik apabila semua orang sporting.

At the end of the event, kami semua telah diberikan cenderahati dengan masing-masing mendapat satu gelaran hasil daripada pemerhatian rakan-rakan terhadap seseorang itu di dalam kelas. Kiranya semua yang hadir dapat satu gelaran.

Fizi - Mr. Seth Tan ; Orang paling romantik dalam kelas...=D
Reza - Gossip Boy ; Lelaki paling suka bergosip di kelas
Fuad - Mr. Wrong Place Wrong Time ; Selalu buat lawak pada waktu yang salah
Tiqah - Ms. Pinky ; Suka pakai pakaian warna pink kat kelas
Kerol (Aku la) - Mr. Rolex ; Selalu ingatkan instructor time break dan balik on time.

Baem - Mr. Best Laughter ; Senyuman dan gelak tawanya membuatkan gadis-gadis kelas cair
Hil - Ms. Vogue ; Gambar di atas cukup menerangkan segalanya...Hehe...
Farah - Ms. Hardy ; Wanita paling gagah dalam kelas
Mar - Ms. Smiley ; Orang yang selalu tersenyum
Afiq - Mr. Sleepy Wiki ; Selalu tido dan layan wikipedia dalam kelas

San - Mr. Cool ; Orang paling cool dalam kelas
Hazman - Mr. Always Right ; Orang yang sentiasa yakin dia di pihak yang betul
Masitah - Ms. Ramp-It ; Minah rempit, datang kerja naik LC
Nas - Ms. Catalyst ; Orang yang meriuhkan suasana kelas. Kalau dia tak datang, kelas terus menjadi aman damai. Hehe.

Dan kemudian diakhiri dengan 4 anugerah khas, yang dipilih melalui undian. Anugerah tersebut ialah The Unexpected Guy and Lady (masa mula-mula masuk kelas lain, sekarang lain) , Prince Charming dan Beautiful Princess...Pemenang-pemenangnya ialah...


Reza dan Nas untuk The Unexpected Guy dan The Unexpected Lady. Mereka berdua ni memang unexpected sungguh. Memang berubah 180 darjah berbanding mula-mula masuk kelas dulu.

Dan untuk Prince Charming dimenangi oleh Fizi dan Beautiful Princess dimenangi oleh Tiqah. Memang sepadan pasangan ini menjadi Prince dan Princess kelas. Kalau ada berita baik bila dah masuk Freescale nanti beritahulah kawan-kawan ye...

Sekarang kami sedang menunggu sebelum mula bekerja di Freescale pada 11hb Julai ini. Harapnya kesemua kalian masih sama dan tidak berubah bila berada dalam suasana kerja nanti. Dan aku berharap kita dapat lagi sekali keluar bersama dengan event seperti ini pada masa akan datang.

Semoga kita semua sukses di Freescale nanti. Jangan buat-buat tak kenal pula ye...

See you guys soon...

Kerol a.k.a. Roy

p/s : Gambar-gambar BBQ semua hasil ihsan Masitah =)

Tuesday, June 21, 2011

Kini Kembali...

Salam...

Tambah tolak lagi 2 bulan, cukup setahun blog ini tidak dikemaskini...Dah penuh habuk, sawang, debu dan macam-macam lagi haiwan ternakan dalam blog ini setelah lama ditinggalkan...

Tapi kini azam ingin menulis semula kembali berkobar-kobar sejak teratak buruk ku bersama isteri kini telah mempunyai sambungan talian internet bermula tengah hari tadi...Setelah hampir 5 bulan menunggu, beberapa panggilan kepada TM dibuat, termasuk juga bertekak dengan operator TM disebabkan masalah kontraktor pemasangan mereka, akhirnya tanggal 21hb Jun 2011, rumahku kini dilengkapi dengan pakej Unifi yang paling murah...


Dengan kelengkapan internet 5Mbps, talian tetap dan HyppTV, dapat la kami suami isteri berhubung dengan dunia luar lebih baik selepas ini...Dan kami juga tidak perlu lagi membetulkan antenna dalam rumah kami untuk menonton tv...

Harapnya azam yang berkobar-kobar ini akan menjadi istiqamah insyaAllah...Sekarang nak bersihkan dulu habuk-habuk dan debu-debu dalam blog ini...

Till we meet again...

Wassalam wbt...

Roy

Thursday, September 9, 2010

Selamat Hari Raya Aidilfitri


Assalamualaikum wbt...

Saya mengambil kesempatan ini ingin mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri kepada semua yang mengenali saya termasuklah :

  1. Semua keluarga serta saudara mara tidak kira jauh atau dekat
  2. Rakan-rakan dan guru-guru semasa di Sekolah Rendah Kebangsaan Seri Gombak (macam tak ingat sangat)
  3. Rakan-rakan dan guru-guru semasa di Sekolah Rendah Kebangsaan Taman Ehsan (macam tak ingat sangat juga)
  4. Rakan-rakan dan guru-guru semasa di Sekolah Kebangsaan Bandar Mentakab (pun tak beberapa ingat)
  5. Rakan-rakan dan guru-guru semasa di Sekolah Kebangsaan Cenderawasih, Kuantan (masih mencari)
  6. Rakan-rakan dan guru-guru semasa di Sekolah Kebangsaan Perumahan Tampoi 2, JB
  7. Rakan-rakan dan guru-guru semasa di Maktab Sultan Abu Bakar, JB
  8. Rakan-rakan dan guru-guru semasa di Sekolah Menengah Hamzah, Machang (masih mencari)
  9. Rakan-rakan dan guru-guru semasa di Sekolah Tinggi Kluang
  10. Rakan-rakan dan guru-guru semasa di Maktab Rendah Sains Mara Muar
  11. Rakan-rakan dan guru-guru semasa di Kolej Mara Seremban
  12. Rakan-rakan semasa di Univesity of Sheffield
  13. Rakan-rakan guru sekerja, staf dan pelajar-pelajar SMK Paloh
  14. Dan mana-mana yang mengenali saya namun tidak termasuk dalam kumpulan di atas. =)
Saya ingin memohon maaf daripada hujung rambut hingga hujung kaki. Banyak dosa yang saya lakukan dan hanya pohonan kemaafan yang mampu dipinta.

Setelah sebulan kita bemujahadah menjalankan ibadah puasa, raikanlah kemenangan kita dengan menyambut kehadiran Aidilfitri.

Dikala kita sibuk dengan persiapan hari raya, jangan lupa untuk kita bersama-sama melaungkan takbir raya pada malam raya dan pagi raya. Peluang yang hanya datang 2 kali setahun. Jangan dilepaskan! ;)

SELAMAT HARI RAYA AIDILFITRI!!

Tuesday, September 7, 2010

Aku Akan Merinduimu.....

Terasa begitu pantas masa berlalu,
Rasanya masih terngiang-ngiang lagi dikala aku menanti kehadiranmu...

Namun,
Dapat kurasai yang engkau akan pergi,
Engkau akan meninggalkan diriku lagi...

Aku gembira bersamamu,
Aku lebih banyak menghabiskan masa di rumah Allah apabila engkau di sisi,
Aku melaksanakan ibadah lebih banyak daripada kebiasaannya,
Aku lebih acap membaca Kalam Allah apabila engkau di sampingku...

Ya Ramadhan...

Namun kini dapat ku lihat,
Petanda-petanda yang engkau akan pergi semakin jelas,
Pabila manusia lebih sesak di bazar berbanding di masjid,
Pabila lagu-lagu raya semakin kerap didendangkan,
Pabila saf-saf di masjid semakin berkurangan hari demi hari,
Masa untuk engkau pergi semakin hampir...

Maka bergembiralah para syaitan laknatullah,
Dan bersedihlah orang-orang yang beriman,
Namun bagiku, yang imannya ibarat kulit bawang yang dicincang-cincang,
Hanya mampu melafazkan,
Aku pasti akan merinduimu...Ya Ramadhan...

Semoga Allah memanjangkan umurku,
Semoga Allah memanjangkan umur keluargaku,
Semoga Allah memanjangkan umur sahabat-sahabatku,
Semoga Allah memanjangkan umur semua umat Islam,
Agar kami ditakdirkan, dapat bertemumu lagi,
Ya Ramadhan...

Sunday, August 15, 2010

Selamat Menduduki Peperiksaan Percubaan

Assalamualaikum wbt...

Kepada pelajar-pelajar tingkatan 5 SMK Paloh yang bakal ataupun sedang menduduki peperiksaan percubaan SPM 2010, saya ingin mengucapkan semoga berjaya dan dipermudahkan segala urusan ketika menghadapi peperiksaan.


Dan kepada pelajar-pelajar tingkatan 3 yang baru selesai menduduki peperiksaan percubaan PMR 2010, bertenang dan bertawakkallah kepada Allah. Terima apa sahaja keputusan yang anda terima. Sesungguhnya anda semua masih belum terlambat untuk memperbaiki diri dan keputusan, masa masih panjang sebelum PMR yang sebenar. Kepada yang mendapat keputusan yang baik, jangan alpa. Teruskan momentum anda dan cuba kekalkan prestasi yang cemerlang.

Ada beberapa perkara yang saya ingin kongsikan kepada mereka yang akan menduduki peperiksaan nanti. Ini adalah apa yang saya rasa perlu anda lakukan, namun ini hanyalah pandangan. Pandangan manusia terdedah kepada kelemahan, dengan itu yang baik silalah ambil, yang kurang baik tolak jauh ke tepi.

Perkara-perkara yang saya rasa pelajar patut lakukan ketika menduduki peperiksaan ialah :

1) Jaga kesihatan.

Pastikan kesihatan dalam keadaan baik. Pergilah ke klinik atau hospital jika ada sebarang masalah kesihatan agar ianya dapat diubati dengan segera. Elakkan daripada melakukan perkara-perkara yang boleh mengundang cedera dan bahaya.

2) Tenangkan diri.

Sebelum masuk ke dewan kesihatan mahupun sebelum memulakan peperiksaan, pastikan diri berada dalam keadaan tenang. Jangan cuba untuk membaca atau menghafal nota atau isi baru pada ketika ini, namun tiada masalah jika hanya untuk sedikit revisi. Sebaiknya, tenangkan diri dengan membaca selawat atau al-Fatihah, dan elakkan perbualan yang boleh mengundang rasa gelisah.

3) Jangan berbincang selepas tamat peperiksaan.

Saya amat tidak menggalakkan pelajar membincangkan kertas soalan yang baru sahaja selesai dijawab. Seeloknya, setelah tamat suatu peperiksaan, anda terus tinggalkan ataupun simpan kertas soalannya. Ini kerana membincangkan kertas soalan selepas peperiksaan boleh mengganggu moral atau keyakinan seseorang pelajar, lebih-lebih lagi jika dia mengetahui dia telah melakukan banyak kesalahan. Seeloknya bersedialah untuk kertas seterusnya atau mengambil sedikit masa untuk berehat.

4) Jangan tinggalkan kertas jawapan kosong

Jangan sekali-kali anda biarkan kertas jawapan anda kosong. Andai anda tidak tahu, anda cuba teka apa sahaja yang anda rasakan relevan. Jika ditinggalkan kosong, sudah pastinya markah anda juga kosong. Namun jika anda jawab sesuatu, walaupun anda rasakan salah, kemungkinan untuk mendapat markah masih ada.

Apa yang penting, anda hendaklah sentiasa berfikiran positif. Fikirkanlah yang anda semua boleh!!


Sentiasa ingat satu perkataan ini - D.U.I.T.

D - Doa
U - Usaha
I - Itqan (Bersungguh-sungguh) / Istiqamah
T - Tawakkal

Jangan lupa, kepada pelajar Islam, berdoalah kepada Allah SWT. Sekuat mana usaha kita, Allah penentu segala-galanya. Dengan itu, dalam keghairahan kita mengejar ilmu, jangan dilupakan suruhan Allah, dan jangan pula kita melakukan laranganNya.

Berusaha, kerana Allah telah berjanji, orang yang berusaha pasti akan berjaya. Dalam hidup ini juga kita dapat lihat, hanya orang yang berusaha yang berjaya.

Bersungguh-sungguhlah dengan usaha kita, dan konsistenlah dalam melakukannya.

Setelah tamat peperiksaan, bertawakkallah kepada Allah. Serahkan segala-galanya kepadaNya. Jika kita dapat apa yang kita mahukan, alhamdulillah. Namum jika kita tidak dapat apa yang kita mahukan, insyaAllah ada hikmah disebaliknya.

Akhir kata, kepada pelajar-pelajar tingkatan 5 SMK Paloh dan juga pelajar-pelajar yang akan menduduki peperikasaan atau ujian, TRY AND DO YOUR BEST!!!


Doa para guru dan ibu bapa akan sentiasa mengiringi anda hingga anda berjaya...

MKAZ

Thursday, August 12, 2010

Aaahhh...Habis Runtuh...

En. Mat merupakan seorang arkitek yang terkenal dan berjaya...Telah banyak rumah dan bangunan yang direkanya mempunyai reka bentuk yang cantik dan nampak hebat...Bagi membuktikan dia seseorang yang amat hebat, dia telah mereka bentuk satu rumah yang begitu cantik, namun tidak mempunyai walaupun sebatang tiang...

Setelah selesai menghasilkan reka bentuk rumah tersebut, En. Mat menyerahkan pelan rumah tersebut kepada kontraktor untuk dibina...Selepas beberapa bulan, siaplah rumah yang direka bentuk oleh En. Mat dengan tersergam indah...


Namun selepas beberapa hari, kesan retak mula terlihat di dinding rumah itu...Tidak beberapa lama selepas itu, rumah tersebut mula tidak kukuh dan tidak selamat diduduki...Akhirnya rumah itupun runtuh...


En. Mat buntu...Tercalar reputasinya sebagai seorang arkitek yang hebat...Mengapa rumah yang begitu cantik dan indah yang direkanya roboh begitu sahaja? Sedang dia minum kopi di warung Pak Abu sambil memikirkan kegagalannya, Pak Abu pun menyapa...

Pak Abu : Awat hang ni Mat?

En. Mat : Takde ape-ape Pak Abu...Cuma memikirkan, mengapa rekaan rumah yang saya buat tanpa sebarang tiang baru-baru ini roboh begitu je...

Pak Abu : Hang ni pun bingai jugak...Kata arkitek, tapi otak hang letak kat lutut...Hang buat ghumah takdak tiang, memang la ghuntuh...Hang buat reban ayam takdak tiang pun terpeleot cik abang ooii...

En. Mat : ............


Kisah di atas hanyalah mukadimah dan analogi yang ingin saya kongsikan pada kali ini...Alhamdulillah, Allah telah memanjangkan umur kita untuk sekali lagi bertemu dengan Ramadhan yang penuh rahmat dan barakah ini...Di dalam kesempatan kita bertemu dengan Ramadhan ini, kita manfaatkanlah peluang dan ganjaran yang Allah sediakan seoptimum yang mungkin...

Namun, apa yang ingin saya tekankan di sini bukanlah mengenai ibadah sunat dan tambahan...Namun saya ingin tekankan ialah ibadah fardhu, iaitu solat 5 waktu, Subuh, Zohor, Asar, Maghrib dan Isyak.

Budaya

Saya merasakan ibadah puasa ini telah menjadi satu budaya dikalangan umat Islam di Malaysia...Tidak kira seseorang itu kuat agamanya, atau tunggang terbalik segala-galanya, puasa tetap puasa...Alhamdulillah, itu adalah satu petanda yang baik kerana umat Islam di Malaysia rajin berpuasa...Tidak lupa juga rajin mencari juadah berbuka puasa, termasuklah orang yang menulis ini...

Namun saya agak kecewa, kerana tatkala ibadah puasa amat dijaga dan dititikberatkan, solat fardhu sering kali tercicir daripada pertimbangan seharian umat Islam hari ini, walaupun ketika sedang berpuasa...


Bangun awal untuk bersahur...Selepas makan, terus tidur kembali tanpa menunggu solat Subuh...Apabila sedar, matahari sudah terik di sebelah timur...

Dikala keletihan waktu tengah hari, masa terluang digunakan untuk berehat...Hingga terlupa waktu Zohor yang terus berlalu...

Pada waktu petang, ketika bazaar Ramadhan meriah di sana sini...Berbondong-bondonglah manusia mencari juadah, hingga ada yang terlupa kewajipan di waktu Asar...

Setelah berkumandang azan Maghrib, diisilah kekosongan perut dengan juadah yang pelbagai...Setelah kekenyangan bak ular saya menelan kambing, terdamparlah dia di hadapan televisyen, kononnya menunggu perut surut...Akhirnya waktu maghrib melambai pergi...

Isyak menjelang, namun kekenyangan tadi membawa kepada kemalasan...Akhirnya tertinggallah Isyak dan tarawih...

Tiang

Itu hanyalah contoh keadaan, yang mana mungkin berlaku,mungkin juga tidak...Namun perlu diingatkan, solat itu tiang agama...Dalam satu hadis Baginda S.A.W. yang bermaksud. "Solat itu tiang agama. Sesiapa yang mendirikan solat, dia telah mendirikan agama dan sesiapa telah meninggalkan solat, maka dia telah meruntuhkan agama."

Abdullah ibn 'Umar r.a meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda:"Islam tertegak di atas lima rukun iaitu bersaksi bahawasanya tiada Tuhan selain Allah dan Muhammad adalah hamba-Nya serta rasul-Nya; mendirikan solat; membayar zakat; mengejarkan haji dan puasa di bulan Ramadhan,"

Daripada dua hadis ini menunjukkan betapa pentingnya solat dalam mendirikan agama di dalam diri kita. Puasa la bagai nak rak ke, buatlah pelbagai perkara baik sekalipun, jika tidak mengerjakan solat, perumpamaannya adalah sama seperti cerita di atas...Rumah tersergam indah, melambangkan betapa cantiknya puasa dan amal soleh lain yang kita lakukan...Namun jika tiang tidak ditegakkan iaitu solat, runtuhlah segala amal tersebut...

Rasulullah S.A.W. bersabda yang bermasud: "Sesungguhnya amal yang mula-mula sekali dihisab pada hari kiamat ialah sembahyang (solat) seseorang. Jika sembahyangnya diterima maka sesungguhnya beruntunglah dan berjayalah ia, dan jika sembahyangnya tidak diterima maka kecewa dan rugilah ia. Jika terkurang daripada sembahyang fardunya, Allah berfirman: "Periksalah, adakah hamba-Ku itu mempunyai sembahyang sunat untuk dicukupkan dengannya apa yang terkurang daripada sembahyang fardunya? Demikianlah keadaan amalnya yang lain." (Hadis riwayat at-Tirmidzi)

Dengan itu, jangan lupa, solatlah...Binalah tapak dan tiang yang kukuh untuk membentuk agama Islam yang kukuh di dalam diri...

p/s : Cerita di atas tiada kaitan antara yang hidup ataupun yang sudah meninggal dunia...Loghat di atas juga adalah hanya bayangan yang penulis, yang mungkin penuh dengan kesilapan...