Esok, 14hb Februari, maka berbondong-bondonglah mereka yang sedang hangat ber'cintan-cintun' menyambut Hari Valentine. Masa inilah sang lelaki akan jadi yang paling romantis, manakala sang wanita menjadi seayu yang boleh, ibarat wanita Melayu terakhir. Yang saya maksudkan di sini bukanlah mereka di negara Eropah sana, mahupun mereka yang berbangsa Cina atau India. Tetapi ini adalah situasi yang berlaku kepada mereka yang berbangsa Melayu dan beragama Islam di negara ini.
Sejarah Hari Valentine
Bagi mereka yang menyambut Hari Valentine ini, adakah mereka tahu sejarah dan asal-usul Hari Valentine ini? Saya rasa tidak perlu saya bercerita panjang lebar tentang sejarahnya di sini. Anda boleh membacanya daripada link yang saya berikan di bawah.
Sejarah Hari Valentine
Mengapa Anda Sambut Hari Valentine?
Kerana ingin menunjukkan kasih sayang? Kerana cinta? Pada pendapat saya, ianya hanya lebih kepada salah satu cara dan penyebab untuk mereka yang dilamun cinta melampiaskan nafsu mereka. Maaf andai ayat saya sedikit kasar. Namun, inilah hakikat yang berlaku saban tahun. Walaupun mungkin ada yang kata, "Kami cuma keluar makan berdua sahaja" atau "Kami hanya pergi menonton wayang berdua sahaja".
Namun begitu, ingatlah Allah telah berfirman dalam surah Al-Isra' ayat 32 yang berbunyi, "Dan janganlah kamu menghampiri zina, sesungguhnya zina itu adalah satu perbuatan yang keji dan satu jalan yang jahat." Allah berpesan kepada hambaNya, jangan mengHAMPIRi zina. Ini bermakna segala perbuatan yang boleh menjurus kepada zina, seperti keluar berdua-duaan adalah ditegah sama sekali.
Hari Valentine sambutan agama Kristian
Jika anda baca dan teliti sejarah Hari Valentine ini, ia berasal daripada agama Kristian. Hari memperingati paderi mereka. Dan kita selaku umat Islam dilarang sama sekali menyambutnya. Adakah anda yang menyambutnya sedar tentang perkara ini atau buat-buat tidak sedar?
Sabda Rasulullah SAW, "Barangsiapa yang menyerupai satu kaum, maka dia tergolong dalam golongan mereka." (Riwayat Imam Abu Dawud). Sungguh terang lagi jelas pesanan junjugan kita Rasulullah SAW ini. Anda sambut, anda segolongan daripada mereka. Jadi, fikir-fikirkanlah.
Dengan ini saya menyeru kepada mereka yang beragama Islam, janganlah anda terlibat sama dalam meraikan Hari Valentine ini. Telah banyak pandangan para ulama' yang mencegah dan melarang umat Islam daripada menyambut Hari Valentine. Ini bukan soal kecil, tetapi ia berkaitan dengan akidah kita selaku umat Islam.
Renung-renungkanlah, dan selamat beramal...
Saturday, February 13, 2010
Mengapa Sambut Hari Valentine?
Posted by Roy at 11:40 PM 2 comments
Labels: Perkongsian
Subscribe to:
Posts (Atom)