BLOGGER TEMPLATES - TWITTER BACKGROUNDS »

Thursday, August 12, 2010

Aaahhh...Habis Runtuh...

En. Mat merupakan seorang arkitek yang terkenal dan berjaya...Telah banyak rumah dan bangunan yang direkanya mempunyai reka bentuk yang cantik dan nampak hebat...Bagi membuktikan dia seseorang yang amat hebat, dia telah mereka bentuk satu rumah yang begitu cantik, namun tidak mempunyai walaupun sebatang tiang...

Setelah selesai menghasilkan reka bentuk rumah tersebut, En. Mat menyerahkan pelan rumah tersebut kepada kontraktor untuk dibina...Selepas beberapa bulan, siaplah rumah yang direka bentuk oleh En. Mat dengan tersergam indah...


Namun selepas beberapa hari, kesan retak mula terlihat di dinding rumah itu...Tidak beberapa lama selepas itu, rumah tersebut mula tidak kukuh dan tidak selamat diduduki...Akhirnya rumah itupun runtuh...


En. Mat buntu...Tercalar reputasinya sebagai seorang arkitek yang hebat...Mengapa rumah yang begitu cantik dan indah yang direkanya roboh begitu sahaja? Sedang dia minum kopi di warung Pak Abu sambil memikirkan kegagalannya, Pak Abu pun menyapa...

Pak Abu : Awat hang ni Mat?

En. Mat : Takde ape-ape Pak Abu...Cuma memikirkan, mengapa rekaan rumah yang saya buat tanpa sebarang tiang baru-baru ini roboh begitu je...

Pak Abu : Hang ni pun bingai jugak...Kata arkitek, tapi otak hang letak kat lutut...Hang buat ghumah takdak tiang, memang la ghuntuh...Hang buat reban ayam takdak tiang pun terpeleot cik abang ooii...

En. Mat : ............


Kisah di atas hanyalah mukadimah dan analogi yang ingin saya kongsikan pada kali ini...Alhamdulillah, Allah telah memanjangkan umur kita untuk sekali lagi bertemu dengan Ramadhan yang penuh rahmat dan barakah ini...Di dalam kesempatan kita bertemu dengan Ramadhan ini, kita manfaatkanlah peluang dan ganjaran yang Allah sediakan seoptimum yang mungkin...

Namun, apa yang ingin saya tekankan di sini bukanlah mengenai ibadah sunat dan tambahan...Namun saya ingin tekankan ialah ibadah fardhu, iaitu solat 5 waktu, Subuh, Zohor, Asar, Maghrib dan Isyak.

Budaya

Saya merasakan ibadah puasa ini telah menjadi satu budaya dikalangan umat Islam di Malaysia...Tidak kira seseorang itu kuat agamanya, atau tunggang terbalik segala-galanya, puasa tetap puasa...Alhamdulillah, itu adalah satu petanda yang baik kerana umat Islam di Malaysia rajin berpuasa...Tidak lupa juga rajin mencari juadah berbuka puasa, termasuklah orang yang menulis ini...

Namun saya agak kecewa, kerana tatkala ibadah puasa amat dijaga dan dititikberatkan, solat fardhu sering kali tercicir daripada pertimbangan seharian umat Islam hari ini, walaupun ketika sedang berpuasa...


Bangun awal untuk bersahur...Selepas makan, terus tidur kembali tanpa menunggu solat Subuh...Apabila sedar, matahari sudah terik di sebelah timur...

Dikala keletihan waktu tengah hari, masa terluang digunakan untuk berehat...Hingga terlupa waktu Zohor yang terus berlalu...

Pada waktu petang, ketika bazaar Ramadhan meriah di sana sini...Berbondong-bondonglah manusia mencari juadah, hingga ada yang terlupa kewajipan di waktu Asar...

Setelah berkumandang azan Maghrib, diisilah kekosongan perut dengan juadah yang pelbagai...Setelah kekenyangan bak ular saya menelan kambing, terdamparlah dia di hadapan televisyen, kononnya menunggu perut surut...Akhirnya waktu maghrib melambai pergi...

Isyak menjelang, namun kekenyangan tadi membawa kepada kemalasan...Akhirnya tertinggallah Isyak dan tarawih...

Tiang

Itu hanyalah contoh keadaan, yang mana mungkin berlaku,mungkin juga tidak...Namun perlu diingatkan, solat itu tiang agama...Dalam satu hadis Baginda S.A.W. yang bermaksud. "Solat itu tiang agama. Sesiapa yang mendirikan solat, dia telah mendirikan agama dan sesiapa telah meninggalkan solat, maka dia telah meruntuhkan agama."

Abdullah ibn 'Umar r.a meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda:"Islam tertegak di atas lima rukun iaitu bersaksi bahawasanya tiada Tuhan selain Allah dan Muhammad adalah hamba-Nya serta rasul-Nya; mendirikan solat; membayar zakat; mengejarkan haji dan puasa di bulan Ramadhan,"

Daripada dua hadis ini menunjukkan betapa pentingnya solat dalam mendirikan agama di dalam diri kita. Puasa la bagai nak rak ke, buatlah pelbagai perkara baik sekalipun, jika tidak mengerjakan solat, perumpamaannya adalah sama seperti cerita di atas...Rumah tersergam indah, melambangkan betapa cantiknya puasa dan amal soleh lain yang kita lakukan...Namun jika tiang tidak ditegakkan iaitu solat, runtuhlah segala amal tersebut...

Rasulullah S.A.W. bersabda yang bermasud: "Sesungguhnya amal yang mula-mula sekali dihisab pada hari kiamat ialah sembahyang (solat) seseorang. Jika sembahyangnya diterima maka sesungguhnya beruntunglah dan berjayalah ia, dan jika sembahyangnya tidak diterima maka kecewa dan rugilah ia. Jika terkurang daripada sembahyang fardunya, Allah berfirman: "Periksalah, adakah hamba-Ku itu mempunyai sembahyang sunat untuk dicukupkan dengannya apa yang terkurang daripada sembahyang fardunya? Demikianlah keadaan amalnya yang lain." (Hadis riwayat at-Tirmidzi)

Dengan itu, jangan lupa, solatlah...Binalah tapak dan tiang yang kukuh untuk membentuk agama Islam yang kukuh di dalam diri...

p/s : Cerita di atas tiada kaitan antara yang hidup ataupun yang sudah meninggal dunia...Loghat di atas juga adalah hanya bayangan yang penulis, yang mungkin penuh dengan kesilapan...

2 comments:

Anonymous said...

assalammualaikum,

salam perantauan dr lboro..

selamat menjalani ibadah puasa..

Roy said...

waalaikumussalam...

salam perantauan kembali dari kluang...hehe...

terima kasih...

siapakah gerangan tuan empunya badan ini?:D