BLOGGER TEMPLATES - TWITTER BACKGROUNDS »

Tuesday, December 1, 2009

Erti Sebuah Pengorbanan

Baru-baru ini, kita telah menyambut salah satu perayaan di dalam agama Islam iaitu Hari Raya Aidiladha atau di Malaysia lebih dikenali sebagai Hari Raya Korban. Alhamdulillah, bagi mereka yang berkemampuan, telah selamat menunaikan haji. Ada yang dapat menjalani ibadah korban, dan ada juga yang kurang berkemampuan, tidak ketinggalan untuk bersama-sama bergotong-royong menjayakan ibadah korban ini.



Namun, dalam kita sama-sama menjayakan ibadah korban ini, adakah kita sedar apakah roh dan ibrah yang ingin Allah tunjukkan pada kita sebagai hambaNya?

Allah SWT telah mengajar manusia tentang pengorbanan sejak daripada generasi pertama manusia, iaitu kepada anak-anak Nabi Adam AS, Habil dan Qabil.


"Dan ceritakanlah (Muhammad) yang sebenarnya kepada mereka tentang kisah kedua putera Adam, ketika keduanya mempersembahkan korban, maka (korban) salah seorang dari mereka berdua (Habil) diterima dan dari yang lain (Qabil) tidak diterima. Dia (Qabil) berkata,"Sungguh, aku pasti membunuhmu!" Dia (Habil) berkata,"Sesungguhnya Allah hanya menerima (amal) dari orang yang bertaqwa."" (Surah Al-Maidah, 5 : 27)

Kisah ini merupakan satu kisah yang popular, yang membawa kepada pembunuhan pertama dalam sejarah manusia. Ketika Allah memerintahkan mereka berdua mempersembahkan satu korban kepada Allah, Habil telah memberikan yang terbaik yang beliau ada manakala Qabil hanya berikan sesuatu yang tidak diingini olehnya lagi. Allah telah memilih korban Habil, yang mana telah dikatakan dalam ayat di atas, Allah hanya menerima amal daripada orang yang bertaqwa.

Dengan itu, ibadah korban ataupun pengorbanan ini adalah untuk mendekatkan diri kepada Allah SWT. Janganlah dijadikan ibadah korban ini hanya sekadar rutin sepanjang tahun, tanpa mengetahui maksud sebenar disebalik ibadah korban itu sendiri.

Dalam kehidupan sebagai seorang mukmin, pengorbanan merupakan satu perkara yang amat dituntut. Terlalu banyak perkara yang terpaksa kita berkorban dalam hidup, berkorban untuk agama Islam, berkorban dalam perjalanan dakwah, berkorban untuk ibu bapa, berkorban untuk isteri dan anak-anak, berkorban dalam kerjaya dan lain-lain. Dan segala pengorbanan ini pasti sekali sekala akan menjatuhkan semangat dan mengurangkan kekuatan kita dalam meneruskan hidup. Pada ketika ini, jadikanlah kisah Nabi Ibrahim, Nabi Muhammad dan para sahabat sebagai pemangkin semangat dan kekuatan diri.

Semoga pengorbanan yang telah kita lakukan mahupun yang akan kita lakukan di masa hadapan kita landaskan semata-mata kerana Allah. InsyaAllah, pengorbanan kita akan diterima oleh Allah seperti mana yang telah dijanjikan seperti di dalam surah Al-Maidah tersebut.

Ini cuma perkongsian daripada seorang yang sangat cetek ilmunya. Andai kata ada tersilap atau mahu ditambah, saya dengan rasa rendah diri dan dengan tangan terbuka menerima seadanya.

Sebelum saya menutup entri ini, saya ingin berikan satu teka teki.

Orang yang buat tak mahu pakai,
Orang yang beli juga tak mahu pakai,
Tapi orang yang pakai, tidak sedar dia memakainya.
Apakah benda itu?

Semoga bermanfaat, insyaAllah.

1 comments:

Anonymous said...

kain kapan