BLOGGER TEMPLATES - TWITTER BACKGROUNDS »

Thursday, December 17, 2009

Apakah Penantian Bakal Berakhir?

Kurang daripada dua jam, sepak mula perlawanan akhir Sukan Sea Laos 2009 antara Malaysia dan Vietnam akan bermula. Pasukan Malaysia membawa misi besar iaitu menamatkan kemarau emas dalam bola sepak di Sukan Sea setelah 20 tahun. Kini cuma Vietnam yang berada di antara skuad Malaysia dengan misi tersebut.


Malaysia yang telah tumpas kepada Vietnam di peringkat kumpulan, menghadapi tugas sukar untuk mengatasi Vietnam pada malam ini. Pasukan Vietnam sangat konsisten pada kejohanan kali ini, seri dengan pasukan Thailand, dan memenangi perlawanan ke atas Malaysia dan Singapura.

Namun begitu, harapan masih ada untuk pasukan Malaysia. Mereka perlu lebih banyak menyerang dan mengawal bola. Jangan terlalu mengambil pendekatan bertahan. Malaysia mempunyai peluang untuk menang andai mempamerkan aksi seperti ketika kedudukan 1-1 dengan Laos tempoh hari.


Adakah barisan pemain Malaysia ini dapat menamatkan kemarau emas yang dinantikan selama 20 tahun? Sama-sama kita tunggu pada petang ini.

Tidak lupa juga, saya ingin mengucapkan Salam Maal Hijrah kepada mereka semua yang beragama Islam. InsyaAllah, malam ini kita akan melangkah ke tahun baru, tahun 1431H. Semoga dalam menghayati peristiwa hijrah Rasulullah SAW 1431 tahun yang lalu akan dapat membawa diri kita menjadi umatnya yang lebih baik insyaAllah.


Bagi mereka yang berada di Malaysia, bola tengok juga, tapi jangan lupa sembahyang Maghrib.

Monday, December 7, 2009

Musim 'Mengawan'

Bagi mereka yang tinggal atau menetap di negara-negara di bahagian utara atau selatan seperti UK, US, negara-negara Eropah mahupun New Zealand, pastinya mereka merasai perubahan musim 4 kali setahun, iaitu musim panas, musim luruh, musim sejuk dan musim bunga.


Di Malaysia juga terdapat beberapa musim setiap tahun. Ada musim buah durian, musim buah rambutan, musim hujan, musim tengkujuh. Namun sekarang terdapat satu musim yang sedang melanda seluruh Malaysia, iaitu musim 'mengawan'.

Apa itu musim 'mengawan'?

Musim mengawan ini ialah musim di mana terdapat banyak majlis-majlis perkahwinan yang dijalankan. Ditambah lagi dengan faktor cuti persekolahan pada ketika ini, berita dan jemputan ke majlis-majlis perkahwinan tiba ibarat cendawan yang tumbuh selepas hujan.

Setakat ini, rasanya tidak kurang daripada 5 jemputan perkahwinan daripada kawan-kawan saya sendiri. Ini tidak termasuk jemputan dari saudara mara dan jiran tetangga.


Gambar di atas merupakan beberapa kad jemputan yang diberi oleh kawan-kawan saya yang berkahwin secara terus kepada saya dan juga dihantar melalui pos. Kalau anda tengok betul-betul, boleh nampak nama di situ. Ada yang bakal berkahwin hujung bulan ini, dan ada yang sudah pun melangsungkan perkahwinan mereka.

Alhamdulillah, mereka telah atau akan menuruti sunnah Rasulullah SAW. Sebagaimana sabda Rasulullah SAW,

"Ingatlah demi Allah, aku adalah orang yang paling takut kepada Allah dan yang paling taqwa kepadaNya, tetapi aku berpuasa dan kadangkala aku tidak berpuasa, aku sembahyang dan aku tidur, dan juga berkahwin dengan perempuan. Barangsiapa yang tidak suka dengan sunnahku, dia bukanlah pengikutku."

Allah juga ada menyentuh tentang soal perkahwinan di dalam Al-Quran, sebagaimana yang dinyatakan di dalam surah An-Nahl, 16 ayat 72 yang berbunyi,

"Dan Allah menjadikan bagimu pasangan (suami dan isteri) dari jenis kamu sendiri dan menjadikan anak dan cucu bagimu dari pasanganmu, serta memberimu rezeki dari yang baik. Mengapa mereka beriman kepada yang batil dan mengingkari nikmat Allah?"

Semoga perkahwinan ini semua kekal bahagia dari dunia sampai akhirat. Ingatlah bagi mereka yang baru atau akan mendirikan rumahtangga, perkahwinan ini bukanlah semata-mata untuk menghalalkan segala yang haram sebelumnya, tetapi perkahwinan merupakan permulaan bagi sebuah kehidupan yang penuh dengan tanggungjawab dan kerjasama. Jadikanlah contoh rumahtangga Rasulullah SAW sebagai panduan dalam melayari ombak badai pasang surut berumahtangga. Pada diri Rasulullah SAW terdapat uswah hasanah bagi mereka yang mengharapkan rahmat Allah (surah Al-Ahzab, 33 : 21).


Kepada mereka yang masih belum berkahwin, marilah sama-sama kita perbaiki diri dan sentiasa menjadikan diri ke arah yang lebih baik. Ini kerana Allah telah berjanji di dalam Al-Quran,

"Perempuan-perempuan yang keji untuk laki-laki yang keji, dan laki-laki yang keji untuk perempuan-perempuan yang keji (pula), sedangkan perempuan-perempuan yang baik untuk laki-laki yang baik, dan laki-laki yang baik untuk perempuan-perempuan yang baik (pula). Mereka itu bersih dari apa yang dituduhkan orang. Mereka memperoleh ampunan dan rezeki yang mulia (syurga)." (Surah An-Nur, 24 : 26)

InsyaAllah, Allah tidak pernah mengingkari janjiNya.

Dan bagi menghiburkan hati mereka yang masih belum berkahwin, saya mengajak kita bersama-sama menghayati video ini. :D



Dan kepada mereka yang bakal atau baru berkahwin, SELAMAT PENGANTIN BARU!!

Tuesday, December 1, 2009

Erti Sebuah Pengorbanan

Baru-baru ini, kita telah menyambut salah satu perayaan di dalam agama Islam iaitu Hari Raya Aidiladha atau di Malaysia lebih dikenali sebagai Hari Raya Korban. Alhamdulillah, bagi mereka yang berkemampuan, telah selamat menunaikan haji. Ada yang dapat menjalani ibadah korban, dan ada juga yang kurang berkemampuan, tidak ketinggalan untuk bersama-sama bergotong-royong menjayakan ibadah korban ini.



Namun, dalam kita sama-sama menjayakan ibadah korban ini, adakah kita sedar apakah roh dan ibrah yang ingin Allah tunjukkan pada kita sebagai hambaNya?

Allah SWT telah mengajar manusia tentang pengorbanan sejak daripada generasi pertama manusia, iaitu kepada anak-anak Nabi Adam AS, Habil dan Qabil.


"Dan ceritakanlah (Muhammad) yang sebenarnya kepada mereka tentang kisah kedua putera Adam, ketika keduanya mempersembahkan korban, maka (korban) salah seorang dari mereka berdua (Habil) diterima dan dari yang lain (Qabil) tidak diterima. Dia (Qabil) berkata,"Sungguh, aku pasti membunuhmu!" Dia (Habil) berkata,"Sesungguhnya Allah hanya menerima (amal) dari orang yang bertaqwa."" (Surah Al-Maidah, 5 : 27)

Kisah ini merupakan satu kisah yang popular, yang membawa kepada pembunuhan pertama dalam sejarah manusia. Ketika Allah memerintahkan mereka berdua mempersembahkan satu korban kepada Allah, Habil telah memberikan yang terbaik yang beliau ada manakala Qabil hanya berikan sesuatu yang tidak diingini olehnya lagi. Allah telah memilih korban Habil, yang mana telah dikatakan dalam ayat di atas, Allah hanya menerima amal daripada orang yang bertaqwa.

Dengan itu, ibadah korban ataupun pengorbanan ini adalah untuk mendekatkan diri kepada Allah SWT. Janganlah dijadikan ibadah korban ini hanya sekadar rutin sepanjang tahun, tanpa mengetahui maksud sebenar disebalik ibadah korban itu sendiri.

Dalam kehidupan sebagai seorang mukmin, pengorbanan merupakan satu perkara yang amat dituntut. Terlalu banyak perkara yang terpaksa kita berkorban dalam hidup, berkorban untuk agama Islam, berkorban dalam perjalanan dakwah, berkorban untuk ibu bapa, berkorban untuk isteri dan anak-anak, berkorban dalam kerjaya dan lain-lain. Dan segala pengorbanan ini pasti sekali sekala akan menjatuhkan semangat dan mengurangkan kekuatan kita dalam meneruskan hidup. Pada ketika ini, jadikanlah kisah Nabi Ibrahim, Nabi Muhammad dan para sahabat sebagai pemangkin semangat dan kekuatan diri.

Semoga pengorbanan yang telah kita lakukan mahupun yang akan kita lakukan di masa hadapan kita landaskan semata-mata kerana Allah. InsyaAllah, pengorbanan kita akan diterima oleh Allah seperti mana yang telah dijanjikan seperti di dalam surah Al-Maidah tersebut.

Ini cuma perkongsian daripada seorang yang sangat cetek ilmunya. Andai kata ada tersilap atau mahu ditambah, saya dengan rasa rendah diri dan dengan tangan terbuka menerima seadanya.

Sebelum saya menutup entri ini, saya ingin berikan satu teka teki.

Orang yang buat tak mahu pakai,
Orang yang beli juga tak mahu pakai,
Tapi orang yang pakai, tidak sedar dia memakainya.
Apakah benda itu?

Semoga bermanfaat, insyaAllah.