Kurang daripada dua jam, sepak mula perlawanan akhir Sukan Sea Laos 2009 antara Malaysia dan Vietnam akan bermula. Pasukan Malaysia membawa misi besar iaitu menamatkan kemarau emas dalam bola sepak di Sukan Sea setelah 20 tahun. Kini cuma Vietnam yang berada di antara skuad Malaysia dengan misi tersebut.
Malaysia yang telah tumpas kepada Vietnam di peringkat kumpulan, menghadapi tugas sukar untuk mengatasi Vietnam pada malam ini. Pasukan Vietnam sangat konsisten pada kejohanan kali ini, seri dengan pasukan Thailand, dan memenangi perlawanan ke atas Malaysia dan Singapura.
Namun begitu, harapan masih ada untuk pasukan Malaysia. Mereka perlu lebih banyak menyerang dan mengawal bola. Jangan terlalu mengambil pendekatan bertahan. Malaysia mempunyai peluang untuk menang andai mempamerkan aksi seperti ketika kedudukan 1-1 dengan Laos tempoh hari.
Adakah barisan pemain Malaysia ini dapat menamatkan kemarau emas yang dinantikan selama 20 tahun? Sama-sama kita tunggu pada petang ini.
Tidak lupa juga, saya ingin mengucapkan Salam Maal Hijrah kepada mereka semua yang beragama Islam. InsyaAllah, malam ini kita akan melangkah ke tahun baru, tahun 1431H. Semoga dalam menghayati peristiwa hijrah Rasulullah SAW 1431 tahun yang lalu akan dapat membawa diri kita menjadi umatnya yang lebih baik insyaAllah.
Bagi mereka yang berada di Malaysia, bola tengok juga, tapi jangan lupa sembahyang Maghrib.
Thursday, December 17, 2009
Apakah Penantian Bakal Berakhir?
Posted by Roy at 4:45 PM 1 comments
Labels: sports
Monday, December 7, 2009
Musim 'Mengawan'
Bagi mereka yang tinggal atau menetap di negara-negara di bahagian utara atau selatan seperti UK, US, negara-negara Eropah mahupun New Zealand, pastinya mereka merasai perubahan musim 4 kali setahun, iaitu musim panas, musim luruh, musim sejuk dan musim bunga.
Di Malaysia juga terdapat beberapa musim setiap tahun. Ada musim buah durian, musim buah rambutan, musim hujan, musim tengkujuh. Namun sekarang terdapat satu musim yang sedang melanda seluruh Malaysia, iaitu musim 'mengawan'.
Apa itu musim 'mengawan'?
Musim mengawan ini ialah musim di mana terdapat banyak majlis-majlis perkahwinan yang dijalankan. Ditambah lagi dengan faktor cuti persekolahan pada ketika ini, berita dan jemputan ke majlis-majlis perkahwinan tiba ibarat cendawan yang tumbuh selepas hujan.
Setakat ini, rasanya tidak kurang daripada 5 jemputan perkahwinan daripada kawan-kawan saya sendiri. Ini tidak termasuk jemputan dari saudara mara dan jiran tetangga.
Gambar di atas merupakan beberapa kad jemputan yang diberi oleh kawan-kawan saya yang berkahwin secara terus kepada saya dan juga dihantar melalui pos. Kalau anda tengok betul-betul, boleh nampak nama di situ. Ada yang bakal berkahwin hujung bulan ini, dan ada yang sudah pun melangsungkan perkahwinan mereka.
Alhamdulillah, mereka telah atau akan menuruti sunnah Rasulullah SAW. Sebagaimana sabda Rasulullah SAW,
"Ingatlah demi Allah, aku adalah orang yang paling takut kepada Allah dan yang paling taqwa kepadaNya, tetapi aku berpuasa dan kadangkala aku tidak berpuasa, aku sembahyang dan aku tidur, dan juga berkahwin dengan perempuan. Barangsiapa yang tidak suka dengan sunnahku, dia bukanlah pengikutku."
Allah juga ada menyentuh tentang soal perkahwinan di dalam Al-Quran, sebagaimana yang dinyatakan di dalam surah An-Nahl, 16 ayat 72 yang berbunyi,
"Dan Allah menjadikan bagimu pasangan (suami dan isteri) dari jenis kamu sendiri dan menjadikan anak dan cucu bagimu dari pasanganmu, serta memberimu rezeki dari yang baik. Mengapa mereka beriman kepada yang batil dan mengingkari nikmat Allah?"
Semoga perkahwinan ini semua kekal bahagia dari dunia sampai akhirat. Ingatlah bagi mereka yang baru atau akan mendirikan rumahtangga, perkahwinan ini bukanlah semata-mata untuk menghalalkan segala yang haram sebelumnya, tetapi perkahwinan merupakan permulaan bagi sebuah kehidupan yang penuh dengan tanggungjawab dan kerjasama. Jadikanlah contoh rumahtangga Rasulullah SAW sebagai panduan dalam melayari ombak badai pasang surut berumahtangga. Pada diri Rasulullah SAW terdapat uswah hasanah bagi mereka yang mengharapkan rahmat Allah (surah Al-Ahzab, 33 : 21).
Kepada mereka yang masih belum berkahwin, marilah sama-sama kita perbaiki diri dan sentiasa menjadikan diri ke arah yang lebih baik. Ini kerana Allah telah berjanji di dalam Al-Quran,
"Perempuan-perempuan yang keji untuk laki-laki yang keji, dan laki-laki yang keji untuk perempuan-perempuan yang keji (pula), sedangkan perempuan-perempuan yang baik untuk laki-laki yang baik, dan laki-laki yang baik untuk perempuan-perempuan yang baik (pula). Mereka itu bersih dari apa yang dituduhkan orang. Mereka memperoleh ampunan dan rezeki yang mulia (syurga)." (Surah An-Nur, 24 : 26)
InsyaAllah, Allah tidak pernah mengingkari janjiNya.
Dan bagi menghiburkan hati mereka yang masih belum berkahwin, saya mengajak kita bersama-sama menghayati video ini. :D
Dan kepada mereka yang bakal atau baru berkahwin, SELAMAT PENGANTIN BARU!!
Posted by Roy at 10:45 PM 15 comments
Labels: Lain-lain
Tuesday, December 1, 2009
Erti Sebuah Pengorbanan
Baru-baru ini, kita telah menyambut salah satu perayaan di dalam agama Islam iaitu Hari Raya Aidiladha atau di Malaysia lebih dikenali sebagai Hari Raya Korban. Alhamdulillah, bagi mereka yang berkemampuan, telah selamat menunaikan haji. Ada yang dapat menjalani ibadah korban, dan ada juga yang kurang berkemampuan, tidak ketinggalan untuk bersama-sama bergotong-royong menjayakan ibadah korban ini.
Namun, dalam kita sama-sama menjayakan ibadah korban ini, adakah kita sedar apakah roh dan ibrah yang ingin Allah tunjukkan pada kita sebagai hambaNya?
Allah SWT telah mengajar manusia tentang pengorbanan sejak daripada generasi pertama manusia, iaitu kepada anak-anak Nabi Adam AS, Habil dan Qabil.
"Dan ceritakanlah (Muhammad) yang sebenarnya kepada mereka tentang kisah kedua putera Adam, ketika keduanya mempersembahkan korban, maka (korban) salah seorang dari mereka berdua (Habil) diterima dan dari yang lain (Qabil) tidak diterima. Dia (Qabil) berkata,"Sungguh, aku pasti membunuhmu!" Dia (Habil) berkata,"Sesungguhnya Allah hanya menerima (amal) dari orang yang bertaqwa."" (Surah Al-Maidah, 5 : 27)
Kisah ini merupakan satu kisah yang popular, yang membawa kepada pembunuhan pertama dalam sejarah manusia. Ketika Allah memerintahkan mereka berdua mempersembahkan satu korban kepada Allah, Habil telah memberikan yang terbaik yang beliau ada manakala Qabil hanya berikan sesuatu yang tidak diingini olehnya lagi. Allah telah memilih korban Habil, yang mana telah dikatakan dalam ayat di atas, Allah hanya menerima amal daripada orang yang bertaqwa.
Dengan itu, ibadah korban ataupun pengorbanan ini adalah untuk mendekatkan diri kepada Allah SWT. Janganlah dijadikan ibadah korban ini hanya sekadar rutin sepanjang tahun, tanpa mengetahui maksud sebenar disebalik ibadah korban itu sendiri.
Dalam kehidupan sebagai seorang mukmin, pengorbanan merupakan satu perkara yang amat dituntut. Terlalu banyak perkara yang terpaksa kita berkorban dalam hidup, berkorban untuk agama Islam, berkorban dalam perjalanan dakwah, berkorban untuk ibu bapa, berkorban untuk isteri dan anak-anak, berkorban dalam kerjaya dan lain-lain. Dan segala pengorbanan ini pasti sekali sekala akan menjatuhkan semangat dan mengurangkan kekuatan kita dalam meneruskan hidup. Pada ketika ini, jadikanlah kisah Nabi Ibrahim, Nabi Muhammad dan para sahabat sebagai pemangkin semangat dan kekuatan diri.
Semoga pengorbanan yang telah kita lakukan mahupun yang akan kita lakukan di masa hadapan kita landaskan semata-mata kerana Allah. InsyaAllah, pengorbanan kita akan diterima oleh Allah seperti mana yang telah dijanjikan seperti di dalam surah Al-Maidah tersebut.
Ini cuma perkongsian daripada seorang yang sangat cetek ilmunya. Andai kata ada tersilap atau mahu ditambah, saya dengan rasa rendah diri dan dengan tangan terbuka menerima seadanya.
Sebelum saya menutup entri ini, saya ingin berikan satu teka teki.
Orang yang buat tak mahu pakai,
Orang yang beli juga tak mahu pakai,
Tapi orang yang pakai, tidak sedar dia memakainya.
Apakah benda itu?
Semoga bermanfaat, insyaAllah.
Posted by Roy at 9:15 PM 1 comments
Labels: Perkongsian
Tuesday, November 17, 2009
Good Luck
Esok, 18hb November 2009, bermulanya peperiksaan SPM bagi pelajar-pelajar tingkatan 5 seluruh Malaysia. Peperiksaan yang boleh dikatakan akan menentukan hala tuju dan membentuk siapakah kita di masa akan datang.
Di kesempatan ini, saya ingin mengucapkan semoga berjaya dan 'Good Luck' kepada semua yang menduduki SPM, terutama kepada adik saya, Izzati Syazwani, yang akan mengambil 9 subjek untuk SPM. InsyaAllah, semoga dipermudahkan menjawab soalan yang diberikan, ditajamkan akal fikiran, dilapangkan dada dan diberikan ketenangan oleh Allah S.W.T. dalam mengharungi SPM nanti.
Gunakanlah konsep D.U.I.T., iaitu Doa, Usaha, Itqan (bersungguh-sungguh) dan Tawakkal. Dalam berusaha, hendaklah bersungguh-sungguh. Jangan lupa untuk berdoa kepada Allah S.W.T., yang mana kita sebagai manusia hanya boleh merancang dan berusaha, tetapi segala-galanya ditentukan oleh Allah. Setelah selesai berusaha, berdoa bersungguh-sungguh, kita serahkan dan bertawakkallah kepada Allah. InsyaAllah Allah akan memberikan yang terbaik nanti.
Rasulullah pernah bersabda bahawa doa merupakan senjata orang mukmin. Saya dengan penuh rasa rendah diri mengajak sahabat sekalian untuk mendoakan agar adik saya dan juga pelajar-pelajar yang menduduki SPM kali ini akan mendapat keputusan yang cemerlang, insyaAllah. Mari kita sama-sama menggunakan senjata ini membantu mereka untuk menang di dalam peperangan mereka.
Inilah jadual study adik saya untuk sebulan terakhir, sehingga papernya yang terakhir pada 8hb Disember nanti. Tahniah kepada abang sulungnya yang begitu bersemangat membuat jadual untuk adiknya, menggunakan ilmu-ilmu 'last minute study' yang telah ditimbanya dahulu. :D
Kepada adikku, semoga berjaya. Jangan lupa berdoa...
Posted by Roy at 9:35 PM 5 comments
Labels: Keluarga
Monday, November 16, 2009
Gamen Oh Gamen...
Belum hilang penat baru pulang dari KL semalam setelah berceria bersama sahabat-sahabat dan menghadiri Careers Fair di PWTC, pagi tadi ayah saya mendapat berita yang nenek sakit kuat. Saya, ayah dan adik bongsu saya terus bersiap dan pulang ke kampung. Alhamdulillah, sekarang nenek sudah ok sedikit, namun dia tetap ditahan wad di Hospital Melaka.
Namun, di sini saya ingin berkongsi cerita mengenai sikap 'government staff' (atau orang dulu-dulu panggil orang keje gamen...) di Klinik Kesihatan Jasin semasa dalam proses memeriksa nenek saya tadi.
Kisah Pertama - Makcik Comel Berbaju Hijau
Makcik comel ini menjaga kaunter di Klinik Kesihatan tersebut. Beliau mempunyai senyuman yang sangat mahal harganya. Disebabkan harga senyumannya mahal, beliau lebih banyak bermasam muka, supaya orang ramai tidak boleh memperolehi senyumannya secara percuma.
Itulah kaunternya. Ini gambar curi-curi ambil, jadi x beberapa jelas. Tapi kalau diperhatikan betul-betul, anda boleh nampak makcik tersebut di belakang kaunter. Beliau juga memanggil nama-nama pesakit menggunakan pembesar suara untuk mengambil nombor giliran dan ubat. Sedang saya menunggu giliran nenek saya, beliau telah memanggil nama seorang aci (perempuan India tua). Setelah beberapa kali nama tersebut dipanggil, barulah aci tersebut tiba di kaunter. Dengan penuh rasa hormat, beliau telah 'sound' aci tu sebab lambat. Kesian aci tersebut, sudah sakit, kene marah pula.
Kisah Kedua - Makcik Misi
Semasa sedang menunggu nenek saya sedang membuat pemeriksaan tekanan darah, ada seorang nyonya (wanita cina tua) yang pada masa yang sama sedang membuat pemeriksaan di situ. Ada seorang misi (jururawat) ingin memeriksa kadar kerabunan nyonya ini.
Ini bahagian luar tempat pemeriksaan tersebut. Semasa misi tersebut membuat ujian kerabunan terhadap nyonya tersebut, dia telah meminta untuk memberitahu huruf apa yang nyonya tersebut nampak dan juga bentuk yang dilihat. Mungkin kerana suasana yang agak bising, ditambah dengan keadaan nyonya tersebut yang sudah tua, nyonya tersebut tidak beberapa memahami instruksi yang diberikan oleh misi. Misi tersebut mula naik marah dan berkata, "Tak reti bahasa betul...". Oh, sungguh indah bahasa dan reaksi yang ditunjukkan.
Dua kisah di atas berlaku di depan mata saya sendiri dalam masa yang sangat singkat. Banyak lagi pengalaman yang pernah saya lalui dan saya pasti anda semua juga pernah melalui saat-saat seperti ini apabila berurusan dengan kakitangan kerajaan, sama ada di hospital mahupun di pejabat-pejabat kerajaan.
Saya tidak mengatakan secara umumnya semua kakitangan kerajaan mempunyai sikap seperti di atas, cuma sebahagiannya sahaja. Saya juga pernah banyak kali berhadapan dengan mereka yang sangat baik layanan dan budi pekerti di pejabat-pejabat kerajaan. Bagi saya, secara umumnya, kakitangan kerajaan yang baru berkhidmat, atau berusia muda biasanya mempunyai sikap yang sangat bagus dan professional dalam melayani karenah orang ramai. Namun, kebanyakan masalah sikap oleh kakitangan kerajaan adalah datangnya daripada mereka yang sudah lama bekerja ataupun mereka yang dah masuk usia senja menanti azan Isyak.
Mengapa saya merasakan begini? Ini kerana, kebanyakan kakitangan yang baru telah dididik dan dilatih agar bersikap professional dalam bekerja. Manakala bagi golongan kakitangan lama, mereka telah terbiasa dengan sikap lama mereka yang tidak professional dan bekerja sambil lewa.
Kita dapat melihat perbezaan yang ketara antara sektor awam dan swasta dari segi sikap mereka. Kakitangan swasta begitu menjaga pelanggan mereka, kerana mereka tahu, pelanggan mereka merupakan 'income' mereka. Dengan itu, mereka akan memberikan yang terbaik, kerana pendapatan mereka bergantung kepada kepuasan pelanggan. Namun sikap dan 'mindset' ini tidak ada pada kebanyakan kakitangan kerajaan. Ini kerana mereka tahu, sejauh mana buruk pun prestasi, sikap dan layanan mereka terhadap pelanggan, mereka tetap akan dapat gaji daripada kerajaan setiap bulan. 'Mindset' ini perlu diubah bagi membaikpulihkan semula perkhidmatan di jabatan kerajaan.
Tidak semua tempat di pejabat mahupun hospital kerajaan tidak memberikan servis yang baik. Sebagai contoh, di Klinik Kesihatan Kluang, kebanyakan staff mereka merupakan orang-orang muda yang baru memulakan kerjaya. Dengan itu, sikap professional mereka terserlah dan kakitangan seperti merekalah yang amat diperlukan bagi memulihkan semula perkhidmatan di sektor kerajaan.
Jadikanlah gambar di atas sebagai contoh. Layanan baik, misi ceria, pesakit senang hati... :)
Posted by Roy at 11:30 PM 7 comments
Labels: Pengalaman
Saturday, November 7, 2009
Sokongan Kepada 2 Skuad Merah
Malam ini akan berlangsungnya perlawanan akhir Piala Malaysia, piala paling berprestij dalam dunia bola sepak Malaysia.
Perlawanan membabitkan Negeri Sembilan dan Kelantan ini memang tidak diduga memandangkan ramai yang menyangkakan Selangor yang sepatutnya layak ke perlawanan akhir setelah menjuarai Liga Super dan Piala FA. Dikhabarkan Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat bakal hadir menyaksikan dan memberikan sokongan kepada skuad Red Warriors.
Pilihan saya malam ni? Pastinya saya akan menyokong dan berharap pasukan Kelantan akan menang pada malam ini. Sokongan saya kepada skuad merah yang pertama, Red Warriors.
Pada malam esok pula (waktu Malaysia), satu perlawanan yang pastinya sangat ditunggu-tunggu oleh peminat-peminat bola sepak Barclays Premier League, iaitu perlawanan diantara Chelsea dan Manchester United di Stamford Bridge.
Kebanyakannya menjangkakan Chelsea akan menang berdasarkan prestasi semasa Chelsea yang konsisten dan Manchester United yang mempunyai banyak masalah kecederaan dan ketidak konsistenan di bahagian pertahanan.
Namun, sebagai penyokong Manchester United, saya berharap Manchester United dapat menang esok dan kembali ke takhta liga. Memang agak susah, namun tiada yang mustahil. :)
Minggu lepas, ada ura-ura mengatakan Manchester United akan membeli dua orang pemain Valencia, David Villa dan David Silva pada waktu perpindahan musim sejuk Januari ini.
United close on £50m targets
Manchester United are closing in on a £50million double swoop for David Villa and David Silva after Valencia admitted they are prepared to sell. Sir Alex Ferguson has been tracking the the Spanish pair for some time but no deal could be struck in the summer. But as United continue to struggle in the absence of the departed Cristiano Ronaldo, Ferguson needs to find a world-class source of goals - and could be ready to splash a large chunk of the £80m he got from Real Madrid. United are operating with just three established strikers in Wayne Rooney, Dimitar Berbatov and Michael Owen. But they could soon have new team-mates as cash-strapped Valencia desperately need to raise money. David McDonnell, Mirror
Walaupun biasanya 'rumours' seperti ini sukar untuk dipercayai, namun saya masih berharap ianya benar-benar akan berlaku.:D
Dan inilah pasukan merah kedua yang saya sokong, The Red Devils.
Sejujurnya, ini adalah pendirian saya sendiri, yang mana andai kata Manchester United tidak dapat menjuarai liga pada musim ini, saya lebih rela untuk lihat pasukan Arsenal yang memenangi liga BPL. Ini disebabkan Arsenal sudah beberapa musim tidak memenangi sebarang gelaran, sedangkan mereka merupakan sebuah pasukan yang baik dan bermain bola sepak yang sangat cantik. Sayang sekali andai kata Arsene Wenger dibuang disebabkan Arsenal tidak memenangi sebarang trofi tahun ini.
Tapi, kalau Arsene Wenger nak ganti Alex Ferguson di Manchester United selepas Ferguson bersara pun boleh juga!:D
Selamat menonton bola sepak. Majulah sukan untuk negara.
p/s : Sejak PRU 12 Mac 2008 yang lalu, kesemua trofi bola sepak Malaysia dimenangi oleh negeri-negeri Pakatan Rakyat. Adakan trend ini berterusan malam ini? Kita tunggu dan lihat.
Posted by Roy at 5:25 PM 8 comments
Labels: sports
Tuesday, October 20, 2009
Selamat Tinggal Sheffield
Setelah sebulan blog ini dibuka, barulah entri kedua ini dapat dibuat. Sebenarnya saya telah membuat 2 entri dalam masa sebulan ini, namun tidak sempat disiapkan memandangkan terdapat komitmen dan mengejar masa semasa 3 minggu berada di UK dan pada masa yang sama keadaan internet "free" ketika di UK yang kadang-kadang ada kadang-kadang tiada itu membantutkan lagi semangat untuk menulis entri baru.
Pada sabtu yang lepas, iaitu pada 17hb Oktober 2009, saya telah meninggalkan Sheffield dan UK untuk pulang 'for good'. Ketika dimaklumkan oleh agensi yang dilantik oleh MARA mengenai tiket pulang saya pada hari Rabu malam, perasaan saya bercampur baur. Seronok, sedih, terkejut, bengang semua ada. Tapi apa yang penting, saya dapat pulang secepat mungkin.
3 tahun di Sheffield rasanya berlalu begitu pantas. Banyak perkara yang berlaku, yang membantu saya menjadi seperti diri saya pada hari ini. Pengalaman sepanjang berada di sana, belajar hidup berdikari bersama rakan-rakan, berurusan dengan orang yang lebih tua dan berpengalaman, berhadapan dengan perselisihan pendapat, menyumbang kepada komuniti dan banyak lagi banyak membantu diri ini menjadi lebih matang (matang sikit kot dari dulu, tak matang langsung...Huhu...).
Di sini, saya ingin mengucapkan terima kasih kepada semua yang banyak menolong dan membantu saya sepanjang saya berada di Sheffield. InsyaAllah, Allah sahaja yang dapat membalas jasa baik anda semua. Dan terima kasih juga kepada mereka yang bersusah payah menjemput saya dan ahli rumah ke rumah mereka dan membuat jamuan perpisahan. Terharu sungguh.
Rumah ke-2, junior2 dari rumah 13 Havelock
Siap buat screen saver lagi untuk kami yang bakal pulang
Program ke-3, makan2 di Chaman
Sempat lagi melawat sebelum berangkat ke bus station
Doakan agar masa depan yang cerah menanti saya pada masa hadapan. Dan jauhkan saya daripada tergelincir ke arah yang tidak sepatutnya. Moga ukhuwwah yang terbina dan ikatan silaturrahim yang tersimpul ini dapat kita teruskan insyaAllah. Kontek selalu yaa!!
Good luck kepada semua!!
Posted by Roy at 6:53 PM 10 comments
Monday, September 14, 2009
Aku, Blog dan ...
Alhamdulillah, setelah lama berhajat untuk mempunyai blog sendiri, akhirnya hajat itu tercapai di dalam 10 malam terakhir Ramadham 1430 Hijrah ini. Terima kasih kepada mereka yang memberi support dan dorongan untuk saya mempunyai blog sendiri. Saya pernah ada blog satu masa dahulu di Friendster, tetapi lebih banyak merapu dan tidak konsisten disebabkan komitmen-komitmen luar.
Saya bukanlah orang yang pandai menulis dan bermadah, cuma ingin berkongsi serba sedikit mungkin pandangan peribadi, atau berkongsi apa yang patut melalui medium blog ini. Kalau ada tersilap kata atau tersalah bahasa, tegur dan perbetulkanlah diri ini. Dan doakan agar saya istiqamah menulis di sini.
Dan untuk entry yang pertama ini, saya ingin mengajak anda semua pembaca (ceh, macam ada je orang baca...haha...) untuk sama-sama kita mencari Lailatul Qadar, dengan penuh keikhlasan dan bersungguh-sungguh. Dan saya juga berdoa dan berharap agar kita dipanjangkan umur dalam iman untuk berjumpa lagi sekali dengan Ramadhan pada tahun hadapan, insyaAllah.
Sebagai penutup untuk entry pertama blog ini, saya nak beri anda satu teka teki. Jawab, jangan tak jawab. Hehe. Begini bunyinya:
Jamil baru sahaja ditinggalkan kekasih. Pada satu malam, untuk menenangkan fikiran, Jamil membawa diri berjalan-jalan seorang diri di tepi pantai.
Sedang dia berjalan-jalan itu, dia terperasan ada satu perkara pelik yang berlaku. Bila dia berjalan, kemudian dia toleh ke belakang, tiada kesan tapak kaki dia. Sedangkan dia berjalan di atas pasir pantai. Dia berjalan lagi, kemudian dia toleh lagi ke belakang, masih tiada kesan tapak kakinya.
Kenapa?? Jeng, jeng jeng...
Hehe. Ok la, selamat mengejar Lailatul Qadar!!
Posted by Roy at 1:18 AM 11 comments
Labels: Lain-lain